Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan agenda kesamarataan yang didakwa boleh menghakis kepentingan pendidikan Bumiputera. 

Sebaliknya, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mahasiswa seharusnya mempertahankan hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, seharusnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak perlu kekal relevan dalam memastikan keseimbangan pembangunan pendidikan dan ekonomi negara.

“Perkara 153 menyebut mengenai keistimewaan orang Melayu. Dia tak sebut keistimewaan Bumiputera, dalam Perlembagaan tak ada istilah Bumiputera. 

“Dalam Perlembagaan yang ada adalah kedudukan orang Melayu dan anak negeri atau pribumi Sabah dan Sarawak. Ada keistimewaannya daripada segi perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Disebabkan itu, jangan pula saya dengar lepas ini ada anak-anak UiTM yang membicarakan soal kesamarataan (dan mendakwa) agenda Bumiputera sudah tidak relevan dan agenda kesamarataan lebih relevan.

“Ini adalah hak yang terjamin dalam Perlembagaan yang wajib kita pertahankan untuk anak cucu pada masa akan datang,” katanya ketika syarahan perdana dengan tajuk ‘Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara’. 

Beliau berkata demikian ketika Seminar Ilmuwan Islam Malaysia ‘Mahasiswa Pewaris Amanah Bangsa Penggerak Masa Depan Negara’ di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad. 

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, dasar afirmatif itu penting bagi menangani jurang pendidikan dan ekonomi yang wujud sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, usaha memperkasa pendidikan Bumiputera sudah bermula sejak Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965, sebelum penubuhan MARA pada 1966 dan Maktab MARA yang kemudian berkembang menjadi UiTM.

Kata beliau, pendidikan adalah jalan utama untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, selaras dengan pendirian Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein, bahawa ilmu menjadi asas penting dalam membangunkan bangsa.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menegaskan kepentingan mempertahankan asas pembentukan negara termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, selain institusi Raja-Raja Melayu.

Kata beliau, perkara berkenaan menjadi antara teras penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu difahami dan dihayati generasi muda bagi memastikan kesinambungan identiti serta sejarah negara. -BH Online