Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat digesa menyuburkan kepimpinan pemikiran syariah supaya terus berakar umbikan tradisi, responsif dan tangkas dalam mendepani perkembangan semasa kewangan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu penting bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan, inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Katanya, kepimpinan pemikiran syariah juga perlu diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan pemain ekonomi.

“Marilah kita melonjakkan usaha ke arah pelaksanaan. Mari kita pastikan segala buah fikiran dan cetusan idea yang terhasil di sini diterjemahkan menjadi dasar, produk dan amalan yang mampu mengangkat martabat serta membela masyarakat.

“Kita perlu menyuburkan kepimpinan pemikiran syariah atau ‘shariah thought leadership’ yang bukan sahaja berakarumbikan tradisi, malah responsif dan tangkas dalam mendepani realiti kontemporari.

“Kita juga mesti memastikan kewangan Islam kekal inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan pada Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Anwar berkata, dunia kini berdepan dengan isu ketidaktentuan global termasuk ketidakstabilan ekonomi, ketegangan geopolitik dan jurang ketidaksamaan yang semakin meluas.

Menurutnya, situasi itu menuntut sistem kewangan yang bukan hanya berorientasikan keuntungan, sebaliknya berpaksikan etika, keadilan dan ihsan.

“Kerangka MADANI yang kita junjung menuntut keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab moral, antara keuntungan dengan matlamat murni.

“Kewangan Islam yang berpaksikan prinsip Syariah menawarkan acuan keseimbangan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata, iSHAR sebagai wadah perbincangan perlu terus melangkaui sempadan dialog dengan memastikan idea dan cetusan pemikiran yang dibincangkan, dapat diterjemahkan kepada kandungan lebih meluas.

Menurutnya, kandungan berkenaan merangkumi dasar, produk dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Himpunan pada hari ini mencerminkan satu hakikat yang murni bahawa tiada sebuah negara, institusi atau seorang cendekiawan pun yang mampu mendepani cabaran ini secara bersendirian.

“Kita wajib memperkukuh kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia ekonomi,” katanya.-BH Online