Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Data rangkaian jalan raya seluruh negara bakal diselaraskan menerusi inisiatif MYJalan yang akan dibangunkan sebagai platform rujukan nasional di bawah satu kerangka bersama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata platform berkenaan akan menghubungkan data jalan Persekutuan, jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pemilik jalan lain.

“Matlamat kita ialah satu data, satu piawaian dan satu ekosistem data jalan raya nasional,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Malaysian Road and Traffic Expo (MYARTTE 2026), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta menyeru pemain industri dan agensi kerajaan supaya bekerjasama serta tidak beroperasi secara bersendirian, mengambil kira rangkaian jalan raya yang saling berhubung dan bidang kuasa pentadbiran jalan yang boleh mengelirukan.

Katanya, selain aspek pembinaan dan perancangan jalan raya, ketersediaan data yang relevan penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan jalan, termasuk penyelenggaraan dan tindakan terhadap aduan berkaitan keadaan jalan.

“Ini bukan sahaja mengenai perancangan dan penyelenggaraan jalan raya, tetapi juga membolehkan kita bertindak dengan cepat terhadap aduan mengenai keadaan jalan, khususnya bagi mengelakkan kemalangan maut atau kesesakan lalu lintas.

“Kita mahu keputusan berkaitan dasar dan kaedah pelaksanaan dibuat berdasarkan data,” katanya.

Dalam ucapannya, Nanta berkata inisiatif seperti MYJalan dan ‘No Wrong Door Policy’ mencerminkan prinsip bahawa perkhidmatan kerajaan perlu disusun berdasarkan keperluan rakyat, bukan mengikut sempadan institusi. -BH Online