PENGUNDI Cina akan memberi sokongan 100 peratus kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, 7 Oktober ini.
Keyakinan itu disuarakan calon BN Datuk Amizar Abu Adam yang berkata, berdasarkan ‘mood’ yang ditunjukkan pengundi Cina, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan terus kekal sebagai kubu kuat BN.
Menurutnya, lebih 3,000 pengundi Cina di kawasan itu telah menyatakan sokongan penuh kepadanya.
“Kalau masyarakat boleh lihat sebenanya mereka yang hadir memberi sokongan 100 peratus.
“Semua masyarakat Cina di sini menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik Malaysiapost.
DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan masyarakat orang asli sekitar 10 peratus.
“Memang kita yakin untuk menang dan ini adalah usaha-usaha kita,” katanya.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). -Media Perpaduan