Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar sehaluan mendesak supaya pergolakan serta pertempuran yang melanda rantau Asia Barat dihentikan segera demi keselamatan dan kedamaian sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendirian penuh konsisten itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani yang mahukan penyaluran bantuan kemanusiaan dipercepatkan serta segala usaha ikhtiar damai diperkukuh bagi mengakhiri penderitaan rakyat yang terjejas.

Anwar berkata, melalui perbualan telefon itu petang tadi beliau berbincang mengenai perkembangan terkini rundingan damai dan pergolakan di Asia Barat.

“Ia khususnya penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang membabitkan Iran.

“Kami senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh demi menghentikan penderitaan rakyat,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan.

Beliau turut menzahirkan harapan semoga hubungan erat Malaysia dan Qatar terus berkembang, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

“Saya juga merakamkan penghargaan atas undangan (ibu kepada Sheikh Tamim), Sheikha Moza (Nasser) kepada Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH),” katanya.

Sheikha Moza adalah kerabat diraja Qatar yang terkenal sebagai tokoh berpengaruh dalam bidang pendidikan, kebajikan masyarakat dan fesyen global

Sementara itu, Anwar berkata, beliau menghargai ingatan serta ucapan takziah Sheikh Tamim atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.

“Baginda juga memohon supaya saya menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali,” katanya. -BH Online