Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan isu visa elektronik (eVISA) yang menyebabkan penerbangan pelajar tajaannya untuk melanjutkan pengajian di King’s College London (KCL) di United Kingdom (UK) tertangguh sebelum ini sudah selesai.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pihaknya mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar tajaannya dapat meneruskan pengajian seperti dirancang, malah pelajar terbabit dengan isu eVISA itu juga sudah pun berlepas ke UK Sabtu lalu.

“MARA mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan kebajikan dan kesinambungan pengajian pelajar tajaannya terpelihara.

“Isu eVISA perkara teknikal yang bersifat sementara dan sudah diselesaikan melalui tindakan segera bersama pihak berkaitan.

“MARA juga sudah menguruskan tiket penerbangan baharu bagi membolehkan pelajar berkenaan meneruskan perjalanan ke UK,” katanya selepas Majlis Pra-Pelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 di Busana MARA, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu di media sosial mengenai pelajar tajaan MARA, Muhammad Naqiuddin Fitri, yang dijadualkan berlepas ke UK Ahad lalu bagi memulakan pengajian di KCL tidak dapat berbuat demikian selepas eVISA miliknya dibatalkan ketika proses daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Asyraf Wajdi berkata, MARA komited memastikan semua pelajar tajaannya yang mengikuti pengajian di universiti terkemuka dunia menerusi program bakat muda (YTP) mendapat sokongan sewajarnya sehingga dapat memulakan pengajian masing-masing.

“MARA membuat pelaburan besar dalam pembangunan pelajar ini, termasuk menyediakan tempoh persediaan lebih setahun sebelum mereka melanjutkan pengajian.

“Oleh itu, setiap perkara yang boleh menjejaskan perjalanan pengajian mereka akan diberikan perhatian dan tindakan segera oleh MARA,” katanya.

Dalam perkembangan sama, MARA akan terus memantau perjalanan pelajar berkenaan sehingga tiba di KCL serta memastikan segala urusan berkaitan pengajian dapat diteruskan mengikut jadual.

“MARA memahami kebimbangan yang timbul dan memberi jaminan bahawa tindakan susulan sudah diambil bagi memastikan isu berkenaan tidak menjejaskan peluang pelajar terbabit untuk meneruskan pengajian.

“MARA kekal komited bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan bakat melalui YTP diteruskan dengan memberikan sokongan serta penyelesaian kepada pelajar dalam menghadapi sebarang perkara yang boleh menjejaskan kelancaran pengajian mereka,” katanya.-BH Online