KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu berwaspada dengan penipuan berkaitan program Ubat Melalui Pos (UMP) termasuk dakwaan pendaftaran menerusi platform media sosial, susulan penghantaran ubat secara percuma mulai 1 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pendaftaran UMP hanya dilakukan melalui fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukan menerusi mana-mana akaun TikTok atau Facebook.
Katanya, orang ramai tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi proses pendaftaran program berkenaan.null
“Pendaftaran melalui fasiliti KKM, bukan melalui mana-mana akaun TikTok ataupun akaun Facebook.
“Peringatan yang ingin saya berikan, tidak ada proses pendaftaran selain daripada KKM itu sendiri di klinik kesihatan melalui fasiliti Kementerian Kesihatan sahaja, bukan melalui akaun-akaun media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Fahmi berkata, peruntukan awal RM5 juta ditetapkan bagi pelaksanaan inisiatif itu, namun jumlah berkenaan akan ditingkatkan susulan keputusan untuk memastikan semua negeri mendapat manfaat.
“Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada memaklumkan berdasarkan perbincangan dengan KKM, ada beberapa negeri memohon untuk tidak terbabit dalam program ini.
“Namun atas faktor keprihatinan dan juga semangat Malaysia MADANI, kita membuat keputusan menyediakan bajet tambahan untuk memastikan semua negeri mendapat manfaat UMP,” katanya.
Fahmi berkata, kira-kira 87,000 pesakit berdaftar di seluruh negara dianggar mendapat manfaat daripada program berkenaan dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, sebelum ini pesakit perlu menanggung sendiri kos penghantaran ubat, namun kos berkenaan akan ditanggung kerajaan menerusi pembiayaan yang disediakan.-BH Online

