Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut memberi tumpuan kepada ekonomi penjagaan warga emas termasuk penyediaan tenaga penjagaan dan penempatan khusus pesara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Khazanah Nasional Bhd mempunyai pelaburan yang memberi tumpuan kepada penyediaan tenaga penjagaan, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pula melihat kepada pelaburan dalam perkampungan persaraan.

“Bagi ekonomi warga emas, kita dapat melihat sebahagian daripada pelaburan yang dibuat oleh GLIC. Di bawah Khazanah, terdapat beberapa pelaburan yang memberi tumpuan kepada penyediaan tenaga penjagaan yang lebih baik supaya masyarakat menyedari bahawa ekonomi penjagaan adalah sangat penting.

“Mereka menyokong dengan melabur dalam syarikat yang menawarkan tenaga penjagaan kepada masyarakat. Terdapat juga pelaburan di bawah KWAP yang melihat kepada perkampungan persaraan dan sebagainya,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC 2026) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata, kerajaan bersama GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menggalakkan entiti berkenaan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi domestik.

Jelasnya, menerusi inisiatif GEAR-uP, GLIC dan GLC menawarkan tambahan pelaburan sebanyak RM120 bilion berbanding pelaburan yang lazim dilakukan bagi tempoh lima tahun.

“Tahun lalu, kita melihat mereka melabur lebih sedikit daripada RM20 bilion dan tahun ini juga akan berada sekitar tahap yang sama. Ini bermakna sasaran itu kini diterjemahkan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, jenis pelaburan yang dibincangkan bersama GLIC juga diselaraskan dengan aspirasi negara, termasuk menjadikan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) sebagai antara pemacu utama untuk menggerakkan ekonomi negara.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, GLIC dan GLC turut menerima pakai pendekatan meningkatkan taraf golongan di peringkat bawah bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati masyarakat secara keseluruhan.

Beliau berkata, GLIC juga beralih daripada gaji minimum kepada gaji kehidupan wajar, dengan lebih 92 peratus GLC di bawah GLIC menerima pakai pendekatan berkenaan sejak awal tahun ini.

Katanya, langkah itu mewujudkan penanda aras baharu, selain memberi isyarat kepada sektor swasta supaya membayar pekerja berdasarkan nilai mereka susulan peningkatan produktiviti negara.

Tambahnya, GLIC dan GLC turut digunakan sebagai pemacu untuk memangkin ekonomi serta mewujudkan persaingan dalam menarik bakat sehingga mendorong sektor swasta untuk turut bertindak balas.

“GLC juga menyokong program kerajaan termasuk Bakat MADANI yang menghubungkan graduan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peluang latihan industri serta latihan menerusi rangkaian GLIC dan GLC.

“Seramai 25,000 individu akan diberikan peluang menerusi program berkenaan sepanjang tahun ini dan tahun depan,” katanya sambil menambah GLIC dan GLC bertindak sebagai jambatan dalam membantu menyediakan bakat lebih berkualiti ketika ekonomi negara terus berkembang dan menjadi semakin kompleks.

Sementara itu, Amir Hamzah memuji prestasi KWSP sebagai dana simpanan yang mencatatkan pulangan baik, sekali gus membantu meningkatkan nilai simpanan pencarum.

“Tumpuan kini adalah untuk terus meningkatkan caruman ke dalam dana bagi memastikan pencarum mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

“KWSP turut menyediakan pilihan kepada pesara untuk membuat pengeluaran secara bulanan berbanding mengeluarkan simpanan secara sekali gus,” katanya.

Menurutnya, kaedah itu membolehkan baki simpanan terus berkembang menerusi pengkompaunan, sekali gus membantu simpanan persaraan bertahan lebih lama. -BH Online