KUALA LUMPUR: Kerajaan melaburkan RM10 juta daripada Dana Pembangunan Perkapalan Malaysia (MSDF) bagi membantu 100 anak muda tempatan terutama daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menceburi kerjaya sebagai pelaut menerusi Program Armada MADANI.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata program itu menawarkan dua laluan kepada golongan muda yang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf.
“Seramai 50 pelajar akan mengikuti program diploma selama tiga tahun dalam Pengajian Nautika atau Kejuruteraan Marin dengan peruntukan RM120,000 bagi setiap pelajar. 50 lagi pelajar akan menerima latihan selama enam bulan sebagai ‘Deck Ratings’ atau ‘Engine Ratings’ dengan peruntukan RM15,000 bagi setiap pelajar,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Minggu Maritim Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Loke berkata, pelajar yang layak daripada keluarga B40 akan menerima bantuan menerusi program berkenaan.
“Kursus yang dicadangkan akan dikendalikan oleh Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan memenuhi piawaian Konvensyen Antarabangsa mengenai Piawaian Latihan, Pensijilan dan Tugas Jaga bagi Pelaut atau STCW.
“Ini adalah penting kerana masa depan maritim Malaysia bergantung kepada tenaga manusia yang akan mengemudi kapal kita serta memastikan industri perkapalan terus berdaya maju,” katanya.
Menurut Loke, Program Armada MADANI adalah satu pelaburan dalam membuka peluang.
“Program ini akan melengkapkan anak muda tempatan dengan kemahiran untuk memasuki industri perkapalan, meningkatkan prospek pekerjaan mereka serta membantu keluarga masing-masing.
“Pada masa sama, program ini akan membantu membangunkan tenaga kerja maritim berkemahiran diperlukan Malaysia untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata Malaysia merekodkan perdagangan barangan bernilai RM3.061 trilion pada tahun lalu yang juga paras tertinggi pernah dicatatkan.
Beliau berkata, nilai eksport pula mencecah RM1.607 trilion, manakala import berjumlah RM1.455 trilion dengan negara merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM151.8 bilion bagi tempoh sama.
“Pengangkutan maritim Malaysia menyumbang kira-kira 98 peratus kepada perdagangan antarabangsa negara sekali gus menjadi tunjang kepada kedudukan negara ini sebagai sebuah negara perdagangan utama.
“Kepentingan dan kecekapan pengangkutan maritim Malaysia dapat diukur melalui prestasi perdagangan negara yang direkodkan pada 2025,” katanya.
Loke berkata, pengangkutan maritim menyumbang melalui nilai yang dihasilkan dengan membantu menggerakkan perdagangan serta industri Malaysia.
“Sektor perkhidmatan pengangkutan maritim menyokong perdagangan ini dengan menyediakan laluan bagi barangan untuk sampai ke pasaran antarabangsa.
“Sektor perkapalan dan perkhidmatan maritim menyumbang lebih daripada 6.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya. -BH Online

