AYER KEROH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur pihak tertentu supaya jangan mudah melabel sesuatu tindakan sebagai ‘derhaka’ atau ‘biadab’ sebelum memahami kedudukan institusi, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pertikaian membabitkan institusi kesultanan dan pentadbiran negeri perlu dinilai berdasarkan kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi terlebih dahulu.
Ia, katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, termasuk hak semua warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan.null
“Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
“Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan sambil memelihara martabat institusi, bukan membelasah ‘tiada adab, tiada tamadun’,” katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap merasmikan ‘Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu’ di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abd Ghani Othman.
Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, berkata UMNO sentiasa menjunjung institusi Raja dan tertib Perlembagaan, termasuk menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja, manakala penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal waqi’ah (teguh) ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan iaitu teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan.
“Namun, kefahaman ini tidak tumbuh dengan sendirinya, (sebaliknya) perlu dipupuk melalui pendidikan, diperkukuh dalam kehidupan bermasyarakat yang dicerminkan oleh kepimpinan.
“Sebab itu, wacana ini (forum Musyawarah Nasional) mesti membawa kita kepada tindakan yang lebih berkesan,” katanya. -BH Online

