Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggerakkan Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 secara serentak di 469 lokasi hari ini, dengan sasaran penyertaan 200,000 orang di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata HCM membawa mesej bahawa menjaga kebersihan bukan tugas pihak tertentu, tetapi tanggungjawab setiap orang.

Katanya, pada masa sama, masyarakat juga perlu melihat bahan buangan daripada perspektif berbeza. 

“Bahan yang masih mempunyai nilai perlu diasingkan dan dikitar semula menerusi amalan 9R, bukan terus berakhir di tapak pelupusan.

“HCM 2026 kali ini turut memperluas pembabitan generasi muda menerusi kerjasama dengan 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Penyertaan murid diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi menggalakkan pembabitan aktif pelajar dalam aktiviti kebersihan, kesukarelawanan, kitar semula dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian HCM 2026 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Penganjuran HCM kali ketiga ini menyokong sambutan World Cleanup Day yang diraikan pada setiap 20 September di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus memperkukuh komitmen negara dalam membudayakan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Kor Ming berkata, HCM perlu dilihat melangkaui aktiviti gotong-royong sehari kerana ia menjadi platform untuk membentuk perubahan sikap masyarakat terhadap kebersihan, pengurusan sisa dan amalan kitar semula.

“Malaysia yang bersih tidak boleh dibina oleh kerajaan saja, sebaliknya memerlukan rasa tanggungjawab setiap rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, HCM 2026 turut menyasarkan penciptaan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu penyertaan 200,000 peserta di seluruh negara serta pengumpulan 28,000 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.

“Justeru, pembabitan besar-besaran rakyat menerusi HCM 2026 membuktikan bahawa agenda kebersihan dan kelestarian negara boleh digerakkan dengan lebih berkesan melalui pendekatan whole-of-nation yang menyatukan kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan generasi muda.

“Kita mahu semangat hari ini diteruskan dengan matlamat akhir ialah menjadikan amalan menjaga kebersihan, mengurangkan sisa, mengasingkan bahan yang masih bernilai dan mengitar semula sebagai budaya harian setiap rakyat,” katanya. -BH Online