Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Isu membabitkan jurang keuntungan korporat dengan gaji pekerja antara inti pati akan dibincangkan dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan lebih tegas perlu dilakukan bagi memastikan isu itu ditangani selain memastikan upah majikan dan pekerja mendapat kadar manfaat sama-rata.

Beliau berkata, tindakan syarikat tertentu meraih keuntungan berbilion ringgit manakala pekerja mereka terus menerima gaji rendah, disifatkan sebagai perkara yang tidak boleh diterima.null

“Saya masih belum berpuas hati apabila syarikat besar dalam industri yang memperoleh keuntungan sangat tinggi masih menawarkan kadar upah yang rendah.

“Saya pernah membuat kajian mengenai hubungan antara peningkatan produktiviti dengan kenaikan upah di Korea Selatan. Di sana, apabila produktiviti meningkat, kadar upah turut meningkat walaupun kadarnya tidak semestinya sama.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan pada Belanjawan 2027 nanti,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Majlis Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Perdana Menteri Raikan Tujuh Dekad Perjalanan UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM di sini, hari ini. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim; Presiden Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM), Saiful Azhar Shaharun dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Anwar berkata, peningkatan ekonomi negara tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut pertumbuhan pelaburan dan keuntungan syarikat, sebaliknya perlu turut disusuli peningkatan pendapatan rakyat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan peningkatan produktiviti dan keuntungan syarikat dapat dinikmati secara lebih adil oleh pekerja, selaras dengan pendekatan ‘raise the ceiling’ dan ‘raise the floor’.

“Masalahnya sekarang, kita sudah menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kemudian RM1,700. Namun, masih ada syarikat yang enggan meningkatkan gaji pekerja.

“Kalau produktiviti menggunung, pendapatan syarikat berbilion tetapi gaji pekerja masih RM1,700, kita tidak raise the floor. Itu tanggungjawab yang harus kita fikir bersama, soal gaji dan upah,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan memberikan tumpuan kepada pemerkasaan agenda Bumiputera dalam Belanjawan 2027.

“Saya yakin agenda Bumiputera boleh dikembangkan dengan jaminan keadilan sosial dan tidak melanggar jaminan keselamatan serta keselesaan rakyat yang bukan Bumiputera.

“Saya yakin dengan peruntukan yang ada, malah dalam belanjawan ini, agenda Bumiputera keseluruhannya, kita mampu tingkatkan,” katanya.-BH Online