Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TANJUNG MALIM: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menggantung semua aktiviti Perikatan Nasional (PN), sebaliknya keputusan dibuat berdasarkan aduan daripada salah sebuah parti komponen gabungan berkenaan. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RoS sudah menggunakan budi bicaranya berdasarkan perlembagaan pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. 

“Sudah tentu, aduan atau ketidakpuasan hati yang dikemukakan oleh salah satu parti komponen menyebabkan penggantungan dikenakan oleh RoS,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini. null

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, RoS bertanggungjawab menjaga kepentingan ahli-ahli pertubuhan yang berdaftar dengan jabatan berkenaan.

“RoS menggunakan budi bicaranya berdasarkan perlembagaan badan atau pertubuhan masing-masing yang berdaftar dengan RoS,” katanya. 

Zahid berkata, beliau mengikuti perkembangan yang membabitkan parti-parti komponen PN susulan tindakan RoS terhadap gabungan pembangkang itu. 

“Sudah tentu, mesti terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam PN yang menyebabkan ia digantung,” katanya. 

Ahmad Zahid turut menggesa parti-parti komponen PN supaya bertenang, terutama ketika membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seterusnya pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, parti-parti komponen pasti mempunyai perancangan sendiri sekiranya penggantungan berterusan, termasuk kemungkinan bertanding menggunakan logo parti masing-masing. 

“Sudah tentu mereka ada perancangan sendiri untuk mengambil langkah sepatutnya jika penggantungan ini berlanjutan. 

“Parti gabungan mungkin akan menggunakan simbol parti masing-masing untuk menyertai persaingan dalam pilihan raya di Melaka atau PRU akan datang,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan RoS menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa semalam. 

RoS dalam kenyataan memaklumkan, perintah penggantungan itu dikeluarkan mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

Notis berkenaan meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan BERSATU kepada jabatan itu. -BH Online