GEORGETOWN: Mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah global di samping memacu pertumbuhan gaji akan menjadi cabaran fiskal utama yang bakal ditangani dalam Belanjawan 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pasaran tenaga yang tidak menentu dan berpanjangan akibat pergolakan di Asia Barat menuntut kerajaan mengekalkan penampan kos pengguna yang berkesan tanpa menjejaskan objektif pertumbuhan jangka panjang.
Beliau menegaskan mengekalkan subsidi bahan api bersasar kekal penting bagi menjamin kestabilan domestik.
“Walaupun harga minyak global kekal turun dan naik, serta berada pada paras tinggi berikutan pergolakan berterusan di Asia Barat, tetapi peranan kerajaan adalah menstabilkan harga dan meminimumkan impak kepada rakyat menerusi langkah bersasar seperti BUDI95.
“Penampan bersasar ini memberikan perlindungan mencukupi kepada rakyat sambil memastikan aktiviti harian perniagaan dan ekonomi berjalan lancar.
null
“Pengimbangan antara melindungi rakyat menerusi subsidi bahan api dan mengekalkan pertumbuhan fiskal adalah cabaran utama yang perlu kita leraikan dalam belanjawan ini,” katanya ketika ditemui media pada program KL20@Penang 2026: Silicon Surge di sini, hari ini.
Selain langkah menangani harga tenaga, Akmal Nasrullah berkata, usaha meningkatkan potensi pendapatan rakyat turut menjadi keutamaan asas Belanjawan 2027, yang didukung oleh perkembangan kukuh ekonomi domestik secara agregat.
“Sudah tiba masanya perbincangan berhubung pendapatan dan gaji sebahagian besar rakyat diberi keutamaan.
“Terdapat harapan tinggi dalam belanjawan akan datang, kita mempunyai keupayaan untuk menyatakan komitmen bagaimana kita boleh menyemak dan menambah baik kedudukan gaji rakyat Malaysia,” katanya.
Suntikan modal persekutuan
Dalam pada itu, beliau menjelaskan suntikan modal Persekutuan seperti peruntukan RM25 juta bagi menubuhkan Kampus Peralatan, Ujian dan Automasi (ATE) Negara di Batu Kawan adalah bertujuan memindahkan syarikat tempatan daripada sekadar pembuatan pemasangan biasa kepada sektor Pertumbuhan Tinggi Bernilai Tinggi (HGHV).
“Apabila kita meningkatkan keupayaan syarikat tempatan, ia akan menjana peluang pekerjaan yang lebih baik dan memberikan pulangan gaji lebih bermakna kepada rakyat,” katanya.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal membentangkan kerangka kerja yang berkesan untuk melindungi isi rumah daripada turun naik harga minyak mentah global, sekali gus merangka hala tuju jelas bagi pembangunan negara.
Pada Selasa lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, membayangkan Belanjawan 2027 mungkin merangkumi kenaikan gaji.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya menyerahkan kepada Perdana Menteri. -BH Online

