KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU), Akta Satu Pendidikan Tinggi di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen, Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembentangan itu dilakukan selepas mengadakan pelbagai siri libat urus dengan pemegang taruh.
“Libat urus ini membabitkan kerajaan, pembangkang dan pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan tinggi,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, akta baharu itu perlu melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi yang membabitkan pentadbir, ahli akademik, mahasiswa dan pihak lain.
“Daripada segi garis masa, kita akan cuba berusaha membentangkan bacaan pertama RUU, akta baharu ini, Disember ini,” katanya.
Mengulas kebebasan mahasiswa, beliau berkata, KPT terlebih dahulu mengambil kira perkara yang sudah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan akta yang membabitkan mahasiswa.
“AUKU yang hendak dipinda itu, ia membabitkan 44 seksyen, yang mana tujuh seksyen itu adalah membabitkan mahasiswa.
“Selebihnya untuk tadbir urus universiti daripada segi akademik dan sebagainya.
“Kita akan mencuba yang terbaik untuk memastikan pelaksanaan ini (membentangkan bacaan pertama RUU, Akta Satu Pendidikan Tinggi) dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemansuhan AUKU dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Anwar menegaskan, kebebasan mahasiswa perlu diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang boleh menghalang kegiatan serta suara mereka di IPT.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu penting bagi memastikan universiti kembali berfungsi sebagai medan pemikiran kritis dan pandangan segar dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini.
Anwar turut berkata, pengurusan universiti dan kementerian berkaitan perlu menerima hakikat bahawa kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya bagi memupuk budaya keilmuan yang lebih dinamik.
“Menerima kenyataan bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka.
Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain…kita boleh berbahas dan menuntut anak-anak mahasiswa mempertahankan hujah mereka,” katanya.
Dalam pada itu, KPT memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti dan mengkaji seluruh aspek dalam penggubalan akta baharu yang menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30).
Penubuhan jawatankuasa itu antara langkah susulan selepas Jemaah Menteri mengambil maklum keputusan kerajaan untuk memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Satu Pendidikan Tinggi.
AUKU sebelum ini sudah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus. -BH Online
