PUTRAJAYA: Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan, susulan mesyuarat dua hala antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China Liu Wei dalam rangka lawatan rasmi Loke ke Beijing.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.
“MoU itu mewujudkan kerangka rasmi bagi kerjasama strategik dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim dan udara serta sektor logistik.
“Antara bidang tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengangkutan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China, sekali gus memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.
Loke turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Timbalan Pentadbir CAAC Hu Zhenjiang.
“Kerjasama CAAM–CAAC meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.
“MoU ini akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOT, Loke turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pentadbir National Railway Administration of China Song Xiude, yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.
“Lawatan ini mencerminkan hubungan erat dan matang antara Malaysia dan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan,” menurut MOT.– BERNAMA
