Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan tahniah kepada atlet e-sukan negara Taj Izrin Aiman Taj Madira yang menyumbang pingat emas kedua kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata kejayaan Taj Izrin Aiman menerusi acara Gran Turismo 7 itu wajar dijadikan contoh kepada golongan muda khususnya mereka yang terlibat dalam sukan elektronik (e-sukan) di negara ini.

“Kejayaan ini harus jadi contoh buat anak-anak muda kita. Kalau mahu main game, biarlah sampai mengharumkan nama negara seperti saudara Taj Izrin Aiman! Tahniah, kami bangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Perdana Menteri yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke China berkata beliau akan terus mengikuti perkembangan dan prestasi atlet negara di temasya sedang berlangsung di Jepun itu.

“Insya-Allah di sela-sela jadual padat lawatan di China, saya akan terus ikuti perkembangan atlet kita. Teruskan berjuang Malaysia!,” katanya.

Malaysia menyertai sembilan daripada 11 acara e-sukan yang dipertandingkan pada temasya empat tahun sekali itu, dengan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lima pingat.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara e-sukan ialah pada edisi Hangzhou 2022 di China apabila meraih pingat perak menerusi skuad Arena of Valor (AOV) dan gangsa menerusi Dota 2.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai Sabtu lepas, berlangsung hingga 4 Okt.– BERNAMA