SHANGHAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China.
Pesawat yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao pada 5.10 petang waktu tempatan (5.10 petang waktu Malaysia).
Berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Abdullah Ma’amor Ibrahim.
Ketibaan Anwar turut disambut oleh Timbalan Datuk Bandar Shanghai, Wang Huajie bersama-sama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; dan anggota Kumpulan Kepimpinan Parti bagi Pejabat Hal Ehwal Luar Perbandaran Shanghai, Su Lin.
Lawatan kerja atas jemputan kerajaan China itu merupakan lawatan keempat Anwar ke China sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, mempertingatkan momentum perdagangan dan memacu kemajuan teknologi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kemuncak lawatan kali ini adalah mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang pada Khamis.
Perdana Menteri akan menghadiri WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di samping dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 pada Rabu.
Semasa lawatan, Anwar juga akan menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima, di bandar Hangzhou, yang terletak di bahagian timur China.
Malaysia serta Hungary menyertai ekspo tersebut sebagai Negara Tamu Kehormat.
Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan ucaptama.
Ekspo yang akan mempamerkan kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama global itu merupakan satu daripada platform ekonomi digital paling penting China dan dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Sept.
Agenda Anwar turut diteruskan apabila dijadual bertemu dengan kalangan pemimpin industri China pada sesi meja bulat serta pertemuan secara bersemuka dengan para ketua industri utama dan firma utama teknologi untuk memacu pelaburan langsung asing ke Malaysia.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.– BERNAMA
