SHAH ALAM: Kenaikan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dan elaun petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) antara perkara diusulkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata cadangan dikemukakan antara usaha berterusan KPWKM menjaga kebajikan golongan OKU selain menghargai petugas yang melatih mereka di seluruh negara.
“(Pada ketika ini) pelatih OKU sudah dinaik elaun tetapi petugas yang melatih mereka belum lagi naik elaun. Sebenarnya elaun mereka di bawah (seliaan) komuniti.null
“Apabila mereka banyak menyuarakan kerisauan mereka dan juga merasakan itu tidak mencukupi, kita cuba mencari jalan dan kita sudah cadangkan supaya elaun itu dinaikkan.
“Cuma belum ada keputusan, …tunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2027 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Able for Disable dan Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Job Coach AEON 2026 di Aeon Mall Seksyen 13, di sini hari ini.
Berhubung fasiliti di PDK, beliau memaklumkan buat masa ini pusat berkenaan mempunyai fasiliti sendiri namun sebahagian besarnya masih bergantung kepada sumbangan penderma luar serta sokongan daripada wakil rakyat.
“Sebab itu, kita dapat dengar wakil rakyat (ahli Parlimen) itu banyak bersuara di dalam Parlimen supaya ditambahkan lagi elaun yang mana untuk membantulah masyarakat yang berada di kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya Nancy berkata, penyertaan OKU dalam pelbagai sektor pekerjaan, perlu dilihat sebagai soal hak dan kesaksamaan dalam pembangunan negara.
“Prinsip ini jelas diperuntukkan dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] iaitu Seksyen 29 yang mengiktiraf hak OKU untuk mendapat akses kepada pekerjaan.
“Majikan pula bertanggungjawab menggalakkan pekerjaan yang stabil melalui penilaian keupayaan dan penyediaan tempat kerja yang sesuai.
“Prinsip ini memastikan OKU dapat hidup secara bermaruah, berdikari dan mengambil bahagian secara penuh dalam masyarakat,” katanya.-BH Online
