PUTRAJAYA: Perbelanjaan pembangunan negara tahun depan akan diteruskan seperti yang dirancangkan
meskipun Malaysia berdepan turun naik tidak menentu harga minyak dunia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pengurusan harga minyak ketika ini adalah perkara mendesak dalam jangka pendek, namun komitmen pembangunan negara bagi jangka panjang perlu dikekalkan.null
“Setakat ini, kita mendapat komitmen bahawa perbelanjaan pembangunan negara tahun hadapan akan diteruskan seperti mana yang kita rancangkan di peringkat Kementerian Ekonomi,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Mengulas kesan ketidaktentuan harga minyak kepada negara, Akmal Nasrullah berkata, perkara paling ketara adalah tampungan dalam bentuk subsidi yang disalurkan kerajaan.
Katanya, perkara itu berada di bawah penelitian Kementerian Kewangan bagi mengimbangi keperluan mengurus kesan gangguan bekalan terhadap rakyat dengan beban fiskal yang perlu ditanggung.
“Isu ini sudah pasti berada di bawah penelitian Kementerian Kewangan untuk mengimbangi antara keperluan bagaimana untuk terus menjamin kesan gangguan bekalan ini kepada rakyat dapat diuruskan dengan sebaik mungkin dan juga beban fiskal yang kita perlu tanggung.
“Ketidaktentuan berkaitan harga minyak masih ketara kerana pergerakannya boleh berubah disebabkan beberapa faktor yang masih tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan ruang fiskal susulan perkembangan itu lebih sesuai diperincikan MOF, namun keadaan berkenaan tidak mengganggu perancangan pembangunan di bawah Kementerian Ekonomi.
“Bagaimana pengurusan fiskal itu dapat dibuat, sebaiknya Kementerian Kewangan untuk jelaskan, tetapi ruang itu masih ada untuk kita memastikan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dunia dapat diuruskan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, penganalisis menjangkakan Belanjawan 2027 berpotensi berdepan tekanan sekiranya harga minyak mentah dunia melonjak sehingga AS$120 setong berikutan peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api yang perlu ditanggung kerajaan, sekali gus bakal mengecilkan ruang untuk perbelanjaan pembangunan dan program lain. -BH Online

