Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kadar kebolehpasaran lepasan politeknik dan kolej komuniti (PolyCC) perlu dilihat melangkaui angka peratusan bagi memastikan lepasan tersebut memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran, tahap pendapatan serta mempunyai prospek kerjaya berkualiti.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata lepasan PolyCC terus mencatatkan kadar kebolehpasaran melebihi 98 peratus pada tahun lepas namun institusi pendidikan itu tidak boleh berpuas hati hanya pada angka tersebut.

“Apa yang lebih penting ialah memastikan lepasan (PolyCC) memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran, mempunyai prospek kerjaya dan menikmati pendapatan yang baik. Atas sebab itu, hubungan antara institusi pendidikan dengan industri mesti bergerak lebih jauh.

“Industri perlu bersama-sama kita daripada peringkat pembangunan kurikulum, latihan dan pensijilan sehingga kepada peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah 2026 di Politeknik Kota Kinabalu di sini hari ini.       

Zambry berkata kepesatan teknologi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, teknologi hijau, keselamatan siber dan ekonomi digital turut mengubah landskap pekerjaan serta kemahiran diperlukan industri.

Dalam dunia pekerjaan yang semakin berubah, Zambry berkata negara bukan sahaja memerlukan lepasan berpengetahuan tetapi juga mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi, berfikir secara kreatif dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.

Beliau berkata TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya perlu menjadi antara laluan utama kerjaya generasi muda negara memandangkan Agenda TVET 2.0 memberikan penekanan pada bidang masa depan seperti AI, robotik dan tenaga boleh baharu yang mempunyai permintaan tinggi.

Justeru, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi menjadikan PolyCC Pelopor TVET sebagai antara tujahan utama pendidikan tinggi negara yang diperkukuh menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti 2026-2035.

Beliau berkata ekosistem PolyCC kini merangkumi 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara dengan enrolmen melebihi 100,000 pelajar, dengan tiga politeknik serta sembilan kolej komuniti terletak di Sabah.

Agenda pembangunan TVET di Sabah menurut beliau mempunyai kepentingan amat besar bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi negeri termasuk tenaga, minyak dan gas, pelancongan, pertanian moden, pembinaan, ekonomi digital, logistik dan ekonomi biru.

“Pembangunan ekonomi Sabah mesti bergerak seiring dengan pembangunan bakat anak tempatan. Kita mahu lebih ramai anak negeri ini mendapat pendidikan berkualiti, menguasai kemahiran tinggi dan seterusnya memperoleh peluang pekerjaan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Zambry ketika ditemui pemberita berkata lima lagi politeknik akan menawarkan program pengajian peringkat ijazah dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperluas laluan pendidikan tinggi dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

Setakat ini, beliau berkata terdapat empat politeknik telah menawarkan program itu.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara, selain memastikan pendidikan ditawarkan politeknik terus seiring dengan permintaan industri.– BERNAMA