Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri H mencatat rekod kutipan tertinggi bagi satu siri nombor pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan hasil RM91.2 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata nombor H1 sahaja mencatat hasil RM10.7 juta selepas bidaan siri berkenaan berakhir, semalam.

“E-bid untuk Nombor Pendaftaran Istimewa ‘H’ memecahkan rekod kutipan hasil JPJ untuk satu siri nombor pendaftaran.null

“Jumlah hasil RM91.2 juta. H1 sahaja dapat hasil RM10.7 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, separuh daripada keseluruhan hasil RM91.2 juta itu akan disalurkan ke Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan.

“Separuh lagi daripada hasil berkenaan akan digunakan untuk membiayai inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) yang berorientasikan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, siri H mempunyai kaitan dengan nombor pendaftaran teksi dan hasil bidaan itu akan digunakan untuk membantu pemandu teksi serta kereta sewa di seluruh negara.

“H ini asalnya nombor pendaftaran untuk teksi.

“Maka, dengan hasil yang lumayan ini, MOT akan gunakan wang ini untuk bantu pemandu teksi dan kereta sewa dari seluruh negara. Akan ada berita baik untuk pemandu teksi minggu depan,” katanya.

Terdahulu, nombor pendaftaran H1 menjadi perhatian selepas nilai bidaan RM10.7 juta tersebar di media sosial sebaik tempoh bidaan siri khas H berakhir semalam.

Siri H dibuka untuk bidaan menerusi sistem JPJeBid dari 16 hingga 20 September, membabitkan nombor H1 hingga H9999.

Siri nombor pendaftaran khas itu dilancarkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pada 14 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.

Aedy Fadly sebelum ini berkata, siri H mempunyai nilai istimewa kerana ia adalah siri awalan satu huruf terakhir yang akan ditawarkan JPJ dan kerajaan.

Huruf H dipilih bagi melambangkan ‘harmoni’ atau keharmonian, sejajar dengan mesej perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia.

JPJ sebelum ini turut menjelaskan siri H berbeza daripada nombor pendaftaran teksi yang menggunakan huruf H bersama kod negeri, seperti HA bagi teksi yang didaftarkan di Perak. -BH Online