Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

TANJONG MALIM: Kerajaan Perak mahu menjadikan Muallim dan Batang Padang hab automotif utama negeri, dengan Tanjong Malim Hi-Tech Park dilihat sebagai langkah penting menarik pelabur domestik dan antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pihak berkuasa tempatan, termasuk Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, diseru terus mesra pelabur bagi memudahkan kemasukan pelaburan ke Muallim dan Batang Padang.

Menurutnya, PROTON sudah memindahkan operasinya dari Shah Alam ke Proton City dan memulakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di situ, manakala KLK Tech Park turut menyokong ekosistem industri di kawasan itu sebagai sebahagian daripada Automotive High-Tech Valley (AHTV).

Beliau berkata, kerajaan boleh menyediakan dasar dan infrastruktur, tetapi tidak dapat membina keseluruhan ekosistem itu sendiri, justeru penyertaan sektor swasta yang sanggup melabur amat penting.

“Kemasukan ramai pekerja juga dijangka menggalakkan pembangunan perumahan, gedung perniagaan, logistik dan pengangkutan, selain permintaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang penyelenggaraan, makanan, runcit dan penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan pecah tanah projek yang dibangunkan Setia Awan Land Sdn Bhd hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri mahu kejayaan pelaburan diukur menerusi pekerjaan yang diwujudkan dan penyertaan syarikat serta usahawan tempatan dalam rantaian bekalan, bukan sekadar nilai yang diumumkan.

Katanya, institusi pengajian tinggi dan kolej swasta digesa menyediakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala industri diminta memaklumkan kemahiran yang diperlukan.

Beliau turut memaklumkan kajian Institut Darul Ridzuan mendapati sekurang-kurangnya 110,000 belia berbakat Perak berhijrah ke Kuala Lumpur dan Shah Alam antara 2011 dan 2020 untuk mencari pekerjaan, termasuk dalam bidang automotif.

“Dengan pembangunan Proton City dan Tanjong Malim Hi-Tech Park, saya janjikan anak muda tidak perlu lagi berpusu-pusu meninggalkan Perak untuk mencari pekerjaan di negeri lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas insentif kepada pelabur, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, berkata insentif pada dasarnya sama di seluruh negara kerana diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, perbezaan antara negeri hanya pada perkara dalam kuasa negeri, terutama tanah, cukai tanah dan cukai pintu.

Katanya, premium dan cukai tanah ditentukan kes demi kes, bergantung pada nilai pelaburan dan jenis pekerjaan yang dibawa, sama ada berteknologi tinggi atau memerlukan ramai pekerja.

Menurutnya, Perak turut menawarkan perundingan percuma menerusi InvestPerak dan saluran Muallim Speed-Lane (M-SL) bagi mempercepat kelulusan dan pernah diperoleh dalam tempoh sebulan, malah dua minggu, tertakluk kepada dokumen yang lengkap.

“Ramai yang berpendapat kelulusan di Perak lambat. Sebenarnya tidak,” katanya. -BH Online