KUALA LUMPUR: Tahap keyakinan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) kekal utuh sekali gus menepis kebimbangan berhubung isu pengeluaran simpanan secara panik atau besar-besaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan dan TH sentiasa memantau perkembangan semasa institusi itu secara dekat.
Katanya, reaksi serta sokongan orang ramai membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap kestabilan TH kekal teguh dan ia disahkan oleh lembaga itu.
“Ini membuktikan bahawa TH berada dalam keadaan yang sangat-sangat baik dan ia perlu dipertahankan,” katanya kepada pemberita di Majlis Kesyukuran Tamat Operasi dan Penghargaan Sahabat Haji TH Musim Haji 1447H/2026 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai jaminan tadbir urus dan pemulihan TH, Zulkifli memaklumkan sebanyak 76 peratus daripada syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH sudah berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata, usaha melengkapkan baki cadangan kini berada pada fasa akhir bagi memastikan pengurusan institusi berkenaan terus diperkasa.
“Apa yang paling penting, kita nak beritahu kepada seluruh masyarakat bahawa TH berada dalam keadaan yang sangat baik dan memerlukan sokongan serta dokongan semua.
“Kita juga sudah buktikan TH sudah pulih dan mendapat anugerah pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh perancangan ibadah haji di sebalik situasi geopolitik dan keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat, beliau menasihatkan bakal jemaah supaya terus fokus membuat persiapan rapi.
Zulkifli berkata, TH mempunyai perancangan senario yang menyeluruh serta pasukan berkaliber yang sentiasa bersedia mendepani sebarang cabaran.
“Tahun lalu kita juga diuji dan Alhamdulillah TH berjaya mendepani dengan baik. Malahan kita mempunyai perancangan senario yang menyeluruh.
“Nasihat saya kepada semua jemaah haji, yang penting bersiap sedia untuk menunaikan haji.
“Selebihnya biarkan TH dan pihak keselamatan yang akan menasihatkan dari semasa ke semasa,” katanya. -BH Online

