Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Lambakan data yang tidak disahkan di media sosial dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam memastikan kredibiliti statistik rasmi negara terus terpelihara.

Ketua Perangkawan Siti Asiah Ahmad berkata kedua-dua cabaran itu menuntut DOSM bergerak lebih tangkas dan fleksibel dalam menghadapi perubahan teknologi yang pantas.

“Lambakan angka di platform digital membimbangkan kerana masyarakat semakin mudah mempercayai data tanpa menyemak sumber, kesahihan dan konteksnya.

“Hari ini sesiapa sahaja boleh mengeluarkan angka dan masyarakat boleh mempercayainya tanpa mengetahui sumber serta kesahihannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih serius apabila terdapat pihak yang menggunakan angka tertentu dan mendakwa ia bersumberkan DOSM, sedangkan data berkenaan bukan terbitan jabatan itu.

Justeru, Siti Asiah berkata DOSM akan terus memberikan penjelasan dan literasi melalui pelbagai medium termasuk melalui media berkaitan bagi penyebaran maklumat yang tepat dan tidak disalah tafsir.

Mengenai perkembangan AI, beliau berkata teknologi itu dilihat berpotensi mengubah landskap pekerjaan termasuk dalam bidang statistik dan analitik data, namun pada masa sama mampu membantu DOSM menghasilkan statistik dengan lebih pantas dan terperinci.

Siti Asiah berkata penggunaan AI perlu disokong dengan pengetahuan dan kepakaran statistik yang kukuh supaya setiap maklumat dapat dinilai dan disahkan sebelum digunakannya.

“Kalau kita tidak mempunyai pengetahuan, kita hanya akan mengikut apa yang AI keluarkan tanpa keupayaan untuk menyemak atau berkembang dengannya,” katanya.

Beliau berkata perubahan teknologi turut menuntut DOSM menilai semula struktur dan keperluan tenaga kerjanya serta perubahan sifat pekerjaan pada masa hadapan, khususnya dalam pengumpulan data, analitik serta penghasilan statistik.

Sehubungan dengan itu, Siti Asiah berkata pembangunan kapasiti warga DOSM perlu dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran teknologi termasuk AI.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan organisasi kekal relevan dan berdaya tahan, di samping memperkukuh usaha meningkatkan literasi statistik dalam kalangan masyarakat.  

“Statistik bukan sekadar angka. Masyarakat perlu memahami sumber, konteks dan bagaimana sesuatu angka itu dihasilkan. Ini merupakan tugas yang harus DOSM galas dengan amanah,” katanya.

Beliau berkata DOSM juga perlu memperkukuh keupayaan pegawai untuk menerangkan statistik dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh masyarakat dan media, selaras dengan perubahan daripada penerbitan konvensional kepada pendekatan digital.

Siti Asiah berkata kelulusan di Parlimen turut membuka lembaran baharu dalam memperkasakan peranan DOSM sebagai peneraju ekosistem data dan statistik negara.

Beliau berkata asas perundangan yang lebih kukuh itu akan membolehkan DOSM memperluas perkongsian data merentas kementerian, agensi dan sektor swasta serta memperkukuh pendekatan Whole-of-Government bagi menghasilkan statistik yang lebih pantas, bersepadu dan responsif terhadap keperluan negara.– BERNAMA