KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 malam ini, meningkat berbanding 32 stesen pada jam sebelumnya.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung dan Sarawak terus mencatatkan bacaan tinggi.
Serian di Sarawak kekal merekodkan bacaan tertinggi negara pada paras 177, diikuti Samarahan dengan bacaan 166.
Di Semenanjung, Nilai mengekalkan bacaan 163 manakala Putrajaya kekal pada paras 162.
Perbandingan bacaan sejam lalu menunjukkan Seremban meningkat satu mata kepada 158, manakala Johan Setia turut meningkat kepada 158.
Shah Alam merekodkan bacaan 155, diikuti Cheras pada paras 153.
Petaling Jaya dan Batu Muda masing-masing mencatatkan bacaan 134 dan 122, mengekalkan status dalam kategori tidak sihat.
Di Johor, Segamat, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing mencatatkan bacaan 155, manakala Larkin merekodkan bacaan 151.
Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing mencatatkan bacaan 154 dan 153.
Sementara itu, Kapit di Sarawak berada pada had tertinggi kategori sederhana dengan bacaan 100.
Di utara Semenanjung, Langkawi terus mencatatkan bacaan terendah negara pada paras 26, diikuti Kangar pada paras 28.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, menutup pintu dan tingkap apabila perlu serta memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.-BH Online
