KUALA LUMPUR: Industri kayu negara terus memberi sumbangan penting kepada eksport negara dengan nilainya mencecah RM9.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, manakala purata nilai eksport tahunan melebihi RM20 bilion.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata industri itu tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran dan pemprosesan kayu, sebaliknya berkembang kepada penghasilan perabot, pintu, lantai, komponen binaan, kemasan dalaman serta pelbagai produk gaya hidup.
Beliau berkata, satu lagi komoditi bernilai tinggi industri itu adalah gaharu daripada pokok karas.
“Aromanya yang unik menjadikan gaharu sebagai bahan penting dalam penghasilan minyak pati, wangian dan produk premium. Pada hari ini, lebih dua juta pokok karas ditanam di seluruh negara,” katanya ketika berucap menutup Program ‘Road to the Oud and Wood Artisan Expo’ (OWA) Bersama Komoditi dan Pra-Pelancaran OWA 2027 di Kuala Lumpur, semalam.
Noraini juga menggesa agar asas sedia ada dimanfaatkan untuk membina industri gaharu yang lebih tersusun, bermula daripada penanaman dan penghasilan resin sehingga pemprosesan, penghasilan produk dan pemasaran.
Beliau berkata, gaharu juga mempunyai pasaran yang nyata dan berpotensi untuk dikembangkan dengan meluas.
“Kita tidak mahu berhenti sebagai pengeksport bahan mentah dan mahu bergerak daripada kayu kepada minyak pati serta wangian dan seterusnya kepada jenama premium yang membawa nama Malaysia,” katanya.
Usaha itu, katanya, boleh diteroka menerusi penghasilan minyak gaharu, minyak wangi, produk penjagaan diri, kraf, cenderamata serta pelbagai produk gaya hidup yang dapat membuka peluang kepada usahawan tempatan memasuki rantaian nilai yang lebih tinggi.
Noraini berkata, pembangunan industri itu juga perlu memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian daripada penanam pokok karas dan penyuling hingga artisan, pengeluar produk, pemilik jenama serta pengeksport.
Gabungan sumber semula jadi dengan kemahiran artisan, inovasi, reka bentuk dan penjenamaan sedemikian mampu menjadikan gaharu Malaysia sebagai satu daripada identiti utama negara.
Mengulas Program Road to OWA, beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mendekatkan industri gaharu, kayu dan kraf tempatan kepada masyarakat selain mengetengahkan produk agrikomoditi lain seperti sawit, getah, koko, lada dan kenaf.
Program itu juga bukan sekadar ruang pameran dan jualan, malah menemukan pengusaha, artisan dan usahawan dengan rakan industri serta pasaran. – BERNAMA
