Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran khas kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion oleh kerajaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad tuntutan negeri ini terhadap 40 peratus hasil bersihnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata bayaran interim terbabit adalah perkembangan positif dalam menangani hak kewangan Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, rundingan bagi mencari formula baharu perlu diteruskan sehingga tuntutan berkenaan direalisasikan sepenuhnya.

“Bayaran interim ini tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad bagi tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersihnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Penerimaan Sabah terhadap bayaran ini sama sekali tidak bermaksud kita sudah berpuas hati atau menerima penyelesaian ini secara mutlak. 

“Pendirian kita kekal teguh, Sabah berhak menuntut hak 40 peratus di bawah kerangka perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Arthur berkata, selain hak kewangan, usaha memperkasakan MA63 turut merangkumi hak perwakilan politik Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Katanya, peratusan kerusi Parlimen yang kini dipegang Sabah dan Sarawak hanya sekitar 25 hingga 27 peratus dan penstrukturan semula perlu dilakukan susulan keluarnya Singapura daripada Persekutuan bagi memastikan ia selari dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

“Saya sudah memperjuangkan isu ini secara konsisten di Dewan Rakyat sejak 2018 dan akan terus membawanya di peringkat Kabinet Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persetujuan untuk mengkaji penambahan jumlah wakil dari Sabah dan Sarawak sudah dicapai menerusi Majlis Tindakan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Susulan itu, katanya, usaha terbabit akan membabitkan kajian persempadanan semula serta libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pensiangan itu juga berkata, sebarang persempadanan semula dan penambahan perwakilan di kawasan pedalaman seperti Pensiangan tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan keluasan geografi.

“Sebaliknya penilaian menyeluruh perlu mengambil kira taburan penduduk, tahap kesukaran serta kemudahan akses ke pusat mengundi dan potensi aktiviti penjanaan ekonomi di sesuatu kawasan.

“Jika sesebuah kawasan itu sangat luas tetapi penduduknya sedikit, penilaian khas terhadap cabaran akses dan keperluan pembangunannya mesti diambil kira bagi mewujudkan sistem perwakilan yang benar-benar efektif dan adil untuk komuniti pedalaman,” katanya. -BH Online