KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan depan.
“Insya-Allah, beberapa perkara berkaitan hubungan Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam tatkala Presiden El-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan hadapan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau hari ini.
Tiada butiran lanjut mengenai lawatan tersebut yang dinyatakan dalam hantaran itu.
El-Sisi ialah seorang daripada pemimpin BRICS yang ditemui Perdana Menteri di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, di sini, semalam.
Pada 2024, Malaysia dan Mesir bersetuju untuk berusaha meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik.
Anwar tiba di New Delhi, India, Jumaat lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri terletak di Pantai Malabar, selatan India.
Ini adalah lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama dilakukan pada Ogos 2024.
Perdana Menteri kemudiannya akan berlepas ke Maldives esok (14 September). -BH Online
