Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan khidmat rawatan kesihatan untuk pesakit di pedalaman tidak boleh dibiarkan terhenti meskipun operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ditangguhkan sementara susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata alternatif digerakkan termasuk menggunakan aset dari empat agensi penguatkuasaan bagi mengendalikan penerbangan ihsan bagi tujuan merawat pesakit di pedalaman.

Empat agensi itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kita tidak boleh lengah, tidak boleh lama sangat kerana ia adalah satu yang sementara sifatnya.

“Sejurus dapat siasatan yang mantap serta tuntas, kita dapat tentukan langkah-langkah untuk memperkukuhkan hal-hal yang terkait dengan keselamatan.

“Penilaian sentiasa kita lakukan tapi kali ini dengan peristiwa tragis dari kemalangan ini, kita akan tingkatkan lagi kepentingan untuk kami terus memberikan penelitian yang lebih rapi serta perbaiki FDS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi ketibaan jenazah salah seorang mangsa nahas helikopter FDS, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al Karomah, dekat Baung, Pengkalan Chepa hari ini.

Mengulas bantuan penerbangan itu, Dzulkefly berkata langkah itu diambil selepas KKM memutuskan semua operasi perkhidmatan FDS ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak berkaitan.

“Semua itu sudah saya sebutkan dalam kenyataan sebelum ini bahawa langkah-langkah dan pilihan atau alternatif lain kita sudah gerakkan.

“KKM kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan sekali gus membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula,” katanya. -BH Online