KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud hari ini, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Dalam satu hantaran di media sosial hari ini, Anwar memaklumkan bahawa pertemuan itu merangkumi sokongan persekutuan dalam beberapa bidang, termasuk infrastruktur, ekonomi, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan sosial.
“Kami membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dan perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“(Ini) termasuk sokongan dalam pelbagai sektor, seperti infrastruktur, ekonomi, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan sosial bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar,” kata Anwar.
Beliau berkata, kerjasama itu akan terus diperkukuh demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Kelantan.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya. -BH Online
