Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan skor Pelaksanaan Berkesan (EI) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028 menerusi Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028 yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pelan tiga tahun itu turut menyasarkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, selain mengurangkan kemalangan serius serta insiden berkaitan keselamatan landasan.

Katanya, pelan berkenaan menyediakan rangka kerja kebangsaan bagi tempoh tiga tahun akan datang dan sejajar dengan Pelan Keselamatan Penerbangan Global ICAO serta Pelan Keselamatan Penerbangan Serantau Asia-Pasifik.

“Paling penting, pelan ini menterjemahkan aspirasi kepada tindakan yang boleh diukur. Objektifnya merangkumi usaha mengekalkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, mencapai skor Pelaksanaan Berkesan ICAO sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028.

“Selain itu mengurangkan kemalangan serius serta insiden keselamatan landasan dan memperkukuh pelaporan keselamatan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia (MASS) 2026 di sini, hari ini.

Loke berkata keselamatan penerbangan kekal menjadi keutamaan negara kerana ia bukan sahaja melindungi nyawa, malah menyokong keyakinan awam serta menjadi teras kepada sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan keterhubungan Malaysia.

“Keselamatan bukan sekadar satu piawaian yang kita capai sekali sahaja. Ia merupakan satu disiplin yang mesti diamalkan setiap hari, dalam setiap penerbangan dan di setiap bahagian sistem penerbangan.

“Seiring dengan kemajuan teknologi dan operasi yang menjadi semakin kompleks, disiplin itu mesti menjadi lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan terhadap keselamatan penerbangan berteraskan tiga keutamaan, iaitu mengekalkan badan kawal selia yang berkeupayaan dan berkesan, memastikan prestasi keselamatan dapat diukur serta telus, selain memastikan peraturan sentiasa seiring dengan inovasi.

Menurutnya, pengawasan berasaskan risiko memerlukan profesional teknikal yang berkelayakan, sistem yang boleh dipercayai serta keupayaan institusi yang mampan.

Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan terus menyokong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam memperkukuh dan mengekalkan keupayaan berkenaan.

Mengenai pelaporan keselamatan, Loke berkata peningkatan jumlah laporan tidak seharusnya dilihat sebagai petanda sistem penerbangan kurang selamat.

Sebaliknya, budaya pelaporan yang sihat dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai bahaya dan membolehkan tindakan awal diambil.

“Masyarakat mesti dapat melaporkan kebimbangan berkaitan keselamatan secara bertanggungjawab dan dengan penuh keyakinan bahawa maklumat berkenaan akan digunakan untuk menambah baik sistem,” katanya.

Loke berkata teknologi baharu mampu meningkatkan kesedaran situasi, keupayaan membuat keputusan dan kecekapan operasi, namun pada masa sama boleh mewujudkan kebergantungan baharu, kebimbangan keselamatan siber serta risiko faktor manusia.

Beliau berkata keselamatan penerbangan tidak boleh dipastikan oleh kerajaan, pihak berkuasa kawal selia atau pengendali secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas sempadan, perkongsian maklumat keselamatan secara bertanggungjawab serta tindakan berasaskan bukti.

Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028 dilancarkan bersempena MASS 2026. -BH Online