SINGAPURA: Harga minyak mentah Brent akhirnya menembusi AS$100 (RM406.76) setong buat kali pertama sejak akhir Julai, tetapi kenaikannya masih agak terkawal meskipun konflik di Asia Barat semakin memuncak dan meningkatkan risiko gangguan bekalan.
Antara faktor yang mengekang lonjakan lebih besar ialah minyak masih dapat mengalir melalui Selat Hormuz, pengeluar Teluk menggunakan laluan alternatif, pengeluar bukan OPEC menambah bekalan dan permintaan daripada China semakin lemah.
Ketua Pegawai Eksekutif Vitol, Russell Hardy, berkata kira-kira sembilan juta tong sehari minyak mentah serta satu juta tong sehari produk petroleum ditapis masih dieksport dari Asia Barat sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Jumlah itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding kira-kira 20 juta tong sehari minyak mentah dan produk petroleum sebelum perang Iran bermula pada 28 Februari.
Dalam minggu sebelum pertempuran kembali tercetus pada 30 Ogos, kira-kira lapan juta hingga sembilan juta tong sehari masih mengalir melalui Selat Hormuz, dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya, menurut Ketua Ahli Ekonomi Rystad Energy, Claudio Galimberti.
Aliran berkenaan dilaporkan berkurangan dengan ketara selepas itu, namun fakta bahawa sejumlah besar minyak masih dapat bergerak melalui laluan strategik berkenaan membantu mengelakkan kejutan bekalan yang lebih besar.
Ketika perjanjian damai sementara Amerika Syarikat (AS)-Iran pada Julai, eksport minyak mentah melalui Hormuz sempat kembali ke paras sebelum perang, iaitu kira-kira 16 juta tong sehari.
Pengeluar Teluk pada masa sama menggunakan laluan alternatif dan dijangka terus memindahkan kargo menerusi operasi kapal ke kapal di luar Hormuz bagi mengurangkan kesan kekurangan bekalan.
Saudi Aramco menyambung semula pemuatan dari pelabuhan Ras Tanura di Teluk pada Ogos, walaupun eksport dari Yanbu di Laut Merah terus berdepan tekanan akibat sekatan laut oleh kumpulan Houthi Yaman yang disokong Iran.
Eksport Yanbu jatuh ke paras terendah enam bulan kepada 1.429 juta tong sehari pada Ogos berbanding purata 3.9 juta tong sehari dalam tiga bulan sebelumnya, berdasarkan data awal Kpler.
Sebaliknya, eksport dari pelabuhan alternatif Sidi Kerir di Mesir melonjak kepada 2.139 juta tong sehari pada Ogos, lebih dua kali ganda berbanding Jun.
Eksport Iraq pula pulih kepada kira-kira 2.34 juta tong sehari pada Ogos, manakala penghantaran Emiriah Arab Bersatu kekal sekitar 2.9 juta tong sehari pada Julai dan Ogos.
Eksport minyak mentah Kuwait turut pulih kepada kira-kira satu juta tong sehari, walaupun eksport Iran merosot dengan ketara akibat sekatan AS.
Bekalan tambahan daripada pengeluar bukan OPEC turut membantu menampung sebahagian kekurangan.
Pengeluaran Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana dijangka meningkat secara gabungan sebanyak 1.4 juta tong sehari tahun ini, menurut pengasas Rystad Energy, Jarand Rystad.
Eksport minyak mentah Russia pula kekal sekitar 5.5 juta tong sehari pada Julai dan Ogos, lebih rendah daripada kemuncak 6.4 juta tong sehari pada Jun tetapi masih 23 peratus lebih tinggi berbanding Februari.
Namun, Russia sudah menurunkan unjuran pengeluaran minyak 2026 kepada paras terendah dalam tempoh 17 tahun, yang berpotensi mengehadkan eksportnya pada masa depan.
Satu lagi faktor penting ialah penyusutan permintaan, khususnya dalam petrokimia dan bahan api pengangkutan.
Rystad menganggarkan penyusutan permintaan pada suku ketiga mencecah 3.5 juta tong sehari berbanding 4.5 juta tong sehari pada suku kedua, dengan China menyumbang lebih separuh daripadanya.
China, pengimport minyak terbesar dunia, mengurangkan import minyak mentah melalui laut kepada tujuh juta tong sehari pada Julai dan Ogos berbanding lebih 11 juta tong sehari pada Februari.
Bahagian penyelidikan Sinopec pula menjangka permintaan minyak China merosot 600,000 tong sehari atau 8.9 peratus pada 2026, menjadikannya penurunan tahunan untuk tahun ketiga berturut-turut.
Simpanan minyak China yang dianggarkan Kpler sebanyak 1.17 bilion tong turut memberikan keyakinan kepada pasaran bahawa negara itu mempunyai penampan bekalan yang besar.
Bagaimanapun, pasaran fizikal memberi gambaran bahawa bekalan sebenarnya jauh lebih ketat daripada yang ditunjukkan harga Brent.
Premium spot minyak Dubai dan Oman kembali ke paras April, melebihi AS$20 (RM81.35) setong berbanding harga rujukan Dubai bagi kargo November, manakala niaga hadapan Oman mencecah AS$121.68 (RM494.95) setong.
Ketua Ahli Ekonomi Argus, David Fyfe, berkata keadaan itu menunjukkan pasaran fizikal berada dalam keadaan sangat ketat, khususnya bagi diesel.
“Pada masa ini, ia memberitahu kita bahawa dari segi fizikal, keadaan amat ketat.
“Kita sudah mempunyai harga yang jauh melebihi AS$100 setong dan yang lebih penting, pasaran diesel sedang memberi isyarat kekurangan yang sangat kuat,” katanya.
Beberapa bank turut menaikkan unjuran harga minyak.
Morgan Stanley menjangka Brent mencatat purata AS$100 (RM406.76) setong pada suku keempat, manakala HSBC menaikkan unjuran Brent bagi 2026 kepada AS$90 (RM366.08) dan AS$85 (RM345.75) setong bagi 2027.
Goldman Sachs pula menaikkan unjuran Brent dan West Texas Intermediate (WTI) sebanyak AS$5 (RM20.34) setong bagi Disember 2026 dan 2027 kerana menjangkakan gangguan perkapalan Asia Barat berterusan hingga tahun depan.
Firma itu kini mengunjurkan Brent pada AS$85 (RM345.75) setong dan WTI AS$80 (RM325.41) setong bagi Disember 2026, manakala bagi 2027 masing-masing diunjurkan AS$80 (RM325.41) dan AS$75 (RM305.07) setong. -BH Online
