Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad olahraga negara susulan pencapaian membawa pulang dua pingat emas dan dua gangsa di Kejohanan Olahraga Grand Prix Muscat 2026 di Oman.

Kuartet pecut lelaki dan wanita tampil cemerlang apabila menyumbang dua emas dan satu gangsa menerusi acara 4×100 meter, manakala satu lagi pingat gangsa diraih menerusi acara lompat jauh lelaki.

Pingat emas diraih kuartet lelaki yang dibarisi Pengiran Aidil Auf Hajam, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Muhammad Umaira Subri dan Muhammad Azeem Fahmi,

Kejayaan sama dicatat kuartet wanita menerusi gandingan Azreen Nabila Alias, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nurul Wardatul Huwaida Mohd dan Nur Aishah Rofina Aling.

Satu lagi kuartet lelaki yang diwakili Umar Osman, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, Muhammad Sayyid Amin Roslan dan Muhammad Haziq Mohamad Akhir meraih gangsa

Sementara itu, Andre Anura Anuar menyumbang satu lagi gangsa negara dalam acara lompat jauh.

Dr Mohammed Taufiq berkata pencapaian itu menjadi petanda positif menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula 19 September ini, selain memberikan suntikan semangat kepada barisan atlet negara untuk terus meningkatkan prestasi di pentas antarabangsa.

“Terima kasih dan syabas kepada semua atlet serta olahraga Malaysia atas usaha, komitmen dan semangat juang dalam mengharumkan nama negara

“Tahniah sekali lagi! Teruskan perjuangan demi Jalur Gemilang!,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini. -BH Online