KUALA LUMPUR: Cadangan untuk meningkatkan ketelusan dalam tawaran gaji akan diteliti, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh rakyat, khususnya golongan bumiputera.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu antara yang akan dibawa untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi, termasuk mekanisme yang dapat memastikan tawaran gaji dibuat secara lebih telus dan adil.
Beliau berkata langkah itu penting bagi meningkatkan bahagian pampasan kepada pekerja (CE), selain memastikan pertumbuhan gaji lebih selari dengan peningkatan ekonomi negara.
“Pada masa yang sama, cadangan mengenai bagaimana peluang saksama yang telah diutarakan sebelum ini dapat dinilai kembali.
“Sudah pasti yang penting adalah supaya ruang untuk anak muda dan pekerja ini untuk mendapat pulangan gaji yang lebih setimpal itu dapat berlaku dengan lebih baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas program Sesi Dialog Bersama Menteri Ekonomi: Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera, di sini pada Isnin.
Akmal Nasrullah menjelaskan cadangan itu tidak menjurus kepada penetapan satu angka gaji secara mutlak, sebaliknya memberi tumpuan kepada keterbukaan dan ketelusan mengenai gaji yang ditawarkan kepada pekerja.
Katanya, kerajaan juga perlu melihat mekanisme yang sesuai untuk diperkenalkan bagi memastikan golongan muda dan pekerja mendapat pulangan gaji yang lebih setimpal.
“Di peringkat Kementerian Ekonomi juga kita ambil maklum bahawa gaji itu sebaik mungkin memenuhi keperluan perbelanjaan mereka.
“Sebab itu kita ada indikator yang dipanggil Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), yang mana itu juga merentasi dari segi perbezaan lokasi, jumlah isi rumah dan sebagainya,” tambahnya.
Mengulas mengenai pemilikan ekuiti bumiputera pula, Akmal Nasrullah berkata sasaran 31 peratus yang digariskan menerusi Agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), perlu dinilai berdasarkan pencapaian semasa sebelum langkah seterusnya ditentukan.
Ujarnya, satu pelaporan menyeluruh mengenai pencapaian ketika ini dijangka dapat disediakan menjelang akhir tahun atau awal tahun depan bagi menilai sama ada sasaran berkenaan mampu dicapai dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, penilaian itu bukan sekadar melihat statistik atau angka pemilikan, tetapi turut meneliti proses dan hasil sebenar yang ingin dicapai menerusi agenda berkenaan.
“Bagi saya sudah pasti perbincangan itu bukan semata-mata statistik ataupun angka, tetapi lebih kepada proses yang kita nak kena lebih tambah baik.
“Ia bukan semata-mata melihat kepada output yang kita boleh ketengahkan tetapi juga hasil sebenar yang kita nak capai,” katanya. -Astro Awani
