Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand mencapai persetujuan untuk menyelaras kawalan keselamatan sempadan serta mempercepatkan projek tebatan banjir di sepanjang Lembangan Sungai Golok dan Rantau Panjang.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dicapai hasil rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Thailand, Sihasak Phuangketkeow yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia.

Menurut Mohamad, kerjasama bersepadu antara agensi kedua-dua negara amat mustahak bagi memastikan aset dan peruntukan dimanfaatkan secara optimum tanpa pertindihan.

“Kita nak selaraskan supaya kita dapat pastikan terutamanya dari keselamatan sempadan supaya kita tidak ada lagi isu-isu penyeludupan yang merugikan kedua-dua pihak.

“Malaysia pun rugi, Thailand pun rugi kerana ada jenis barangan yang diseludup ke Thailand, ada juga jenis barangan daripada Thailand diseludup ke Malaysia.

“Ada juga dibawa oleh pihak Thailand tadi, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar Thailand, mereka bercadang supaya bekerjasama bagaimana kita nak memagar kawasan sempadan.

“Sebab kita pun dah ada buat pagar dan mereka pula juga buat pagar, tapi jangan berlapis. Nanti sampai dua lapis dia merugikan. Jadi di kawasan mana yang kita telah pagar, dia tak akan memagar, dan dia akan memagar di kawasan yang belum ada pagar.

“Jadi ini kerjasama di segi keselamatan dan juga segi pengurusan sempadan itu dapat dibuat dengan terbaik yang mungkin,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

Menyentuh isu banjir bermusim yang membelenggu komuniti sempadan Kelantan-Narathiwat, Mohamad menjelaskan projek mendalamkan sungai dan pembinaan benteng pengadang air kini digerakkan secara bersama.

Katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mendapat kelulusan dan kata sepakat daripada rakan sejawatan di Thailand untuk memulakan kerja-kerja pengorekan pasir (dredging).

“Macam sebagaimana kita bersama-sama nak mengurus masalah banjir di Sungai Golok ataupun di Rantau Panjang, kita akan mendalamkan dan juga untuk membuat benteng pengadang banjir agar kawasan tersebut tidak mengalami masalah banjir yang mendatangkan banyak kemudaratan kepada rakyat di kedua-dua belah pihak setiap tahun.

“Jadi, kita juga telah bersetuju dan PETRA ataupun Kementerian PETRA telah bersama-sama mendapat persetujuan daripada pihak Thailand untuk kita menggali juga buat ‘dredging’ kerana sungai tersebut telah pun menjadi tohor kerana pasir yang banyak.

“Jadi kita akan menggali bersama-sama dengan pihak Thailand sehinggalah kepada muara sungai tersebut untuk kita pastikan laluan air itu tidak tergendala dan tidak menyebabkan banjir apabila hujan lebat turun di kawasan huluan,” katanya.

Lawatan Phuangketkeow ke Malaysia pada 6 hingga 7 September merupakan kesinambungan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 9 hingga 10 Julai lalu.

Menurut Wisma Putra, pertemuan peringkat tinggi itu bertujuan mengekalkan momentum hubungan diplomatik serta membincangkan kerjasama strategik merangkumi perdagangan dua hala, kesalinghubungan rentas sempadan, pertanian, dan perkembangan proses damai di Selatan Thailand.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencatatkan peningkatan ketara mencecah RM85.01 bilion (USD21.13 bilion), berbanding RM66.95 bilion (USD16.64 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2025.

Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. -Astro Awani