Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jumlah pendaftaran murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terus diperkasakan.

Perdana Menteri berkata, masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan mendalaminya, dengan penyertaan murid dalam sains tulen sekitar 15.8 peratus, ketika ini.

Katanya, selain menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM, semua pihak juga perlu terus memastikan mereka bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti perlu memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, tetapi terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang.

“Dalam hal ini, guru memainkan peranan amat besar, bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda.

“Bakat ada di mana-mana. Tanggungjawab kita ialah memastikan peluang juga ada di mana-mana, selain usaha memperkukuh pendidikan STEM mesti menjadi usaha bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang sempena Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan Piala YAB Perdana Menteri di sini hari ini. -BH Online