SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini melancarkan Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pembangunan sistem PADAN berteraskan slogan Satu Pangkalan, Sejuta Manfaat Demi Membina Impian.
Katanya, ia adalah langkah strategik dalam mengendalikan data berskala besar komuniti nelayan secara berpusat, sistematik dan selamat.
“Sistem ini berfungsi sebagai sumber rujukan tunggal mengintegrasikan profil nelayan, lesen, bot, peralatan, pendaratan hasil serta rekod bantuan dan subsidi.
“PADAN juga berpotensi diintegrasikan dengan Aplikasi MyMinyak LKIM bagi memastikan agihan subsidi minyak disalurkan secara telus dan bersasar,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sistem PADAN dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Mohamad turut menyaksikan MoU Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung yang dimeterai antara Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bersama dua syarikat pembekal hasil perikanan berpangkalan di Sandakan, Sabah iaitu Widegrowth Marine Products Sdn Bhd dan Metro Jaya Seafood Sdn Bhd.
Mohamad berkata, kerjasama itu memfokuskan kepada pembekalan ikan terproses sejuk beku menggunakan kaedah Individual Quick Freezing (IQF) bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti hasil laut sepanjang pengangkutan rentas laut.
Katanya, inisiatif itu berupaya mengoptimumkan sumber perikanan domestik dari Sabah, mengurangkan kebergantungan kepada ikan import dan memastikan bekalan ikan segar di Semenanjung sentiasa mencukupi pada harga munasabah.
“Dalam konteks ini saya melihat Sabah mempunyai potensi besar sebagai salah satu sumber bekalan hasil perikanan negara.
“Namun potensi itu perlu disokong dengan sistem rantaian nilai yang berkesan supaya hasil perikanan dari Sabah dapat disalurkan secara konsisten ke pasaran Semenanjung,” katanya. -BH Online

