SERDANG: Sebanyak 121 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM8 bilion dijangka dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM4 bilion membabitkan kerjasama dengan China manakala selebihnya negara lain.
Beliau berkata kerjasama itu merangkumi pertukaran teknologi, peluang pelaburan, pembangunan kapasiti serta latihan kepada peladang termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain membuka peluang eksport produk agromakanan tempatan.
Selain itu, beliau berkata MAHA Go Global turut menjadi antara platform untuk memperluas pasaran produk tempatan, khususnya ke Asia Tengah dan Eropah Timur.
“Kita berharap MAHA Go Global termasuk FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dapat memainkan peranan lebih hebat pada masa akan datang supaya barangan keluaran di Malaysia boleh dipasarkan di negara disebutkan, yang kita masih agak ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA 2026 hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.
Mohamad berkata nanas dan durian antara produk tempatan yang berpotensi besar untuk diperluas ke pasaran antarabangsa, dengan eksport nanas kini melebihi RM1 bilion manakala permintaan durian di China masih tinggi dan mempunyai ruang untuk dikembangkan.
Dalam pada itu, beliau berkata tumpuan utama MAHA 2026 ialah penciptaan nilai bagi memastikan hasil pertanian tempatan tidak hanya dipasarkan dalam bentuk mentah, sebaliknya diproses menjadi produk hiliran yang bernilai lebih tinggi.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan negara tidak terus mengeksport bahan mentah sebelum mengimport semula produk yang telah diproses di luar negara.
“Biar kalau boleh kita yang memprosesnya dan penciptaan nilai ini akan berterusan sampai ke pengguna akhir itu dibuat di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata sektor pertanian menunjukkan perkembangan positif dalam sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kementerian menjangkakan sumbangan meningkat tahun ini.
Beliau berkata usaha meningkatkan eksport produk pertanian perlu dipergiat bagi mengimbangi nilai import agromakanan negara yang kini melebihi RM80 bilion.
“Sekarang kita mempertingkatkan eksport itu. Ini yang kita usahakan. Melalui MAHA ini, kita dapat mempertingkatkan usaha tersebut,” katanya.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dan menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung. – BERNAMA
