Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Situasi malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini pada tahap membimbangkan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) merekodkan prevalens bantut di ibu negara mencapai 23.4 peratus, manakala kurang berat badan (12.4 peratus), susut (8.1 peratus) dan berat badan berlebihan (7.5 peratus).

“Angka ini bukan sekadar statistik atas kertas, …di sebalik setiap peratusan itu wujud seorang kanak-kanak yang sedang melalui fasa kritikal pembesaran dan sebuah keluarga yang mendambakan sokongan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Community Feeding (PCF) Bandar Bersama Pemimpin Parlimen Seputeh di Kompleks Komuniti Muhibbah di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Dzulkefly berkata, negara kini bergelut dengan beban berganda malpemakanan, iaitu wujudnya krisis kekurangan zat serentak dengan krisis berlebihan pemakanan. 

KKM turun padang kesan kanak-kanak berisiko

Sehubungan dengan itu, katanya KKM kini mengambil pendekatan proaktif dengan turun terus ke komuniti bagi mengesan kanak-kanak berisiko yang tidak hadir secara konsisten ke fasiliti kesihatan. 

Beliau berkata, menerusi model PCF Bandar itu yang dirintis sejak 2013, kanak-kanak berumur satu hingga enam tahun yang terjejas akan menerima intervensi berstruktur selama enam bulan merangkumi pemantauan antropometri bulanan, pemberian bakul makanan berkhasiat serta bekalan buah dan sayur segar setiap dua minggu.

Bagi Parlimen Seputeh, pembiayaan program intervensi selama enam bulan itu dijayakan menerusi kerjasama hibrid bersama Kok, susulan pelaksanaan program sama di Parlimen Lembah Pantai dan Wangsa Maju. -BH Online