Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATU KAWAN: Kejayaan sesebuah negara tidak hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi dan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pembentukan generasi muda yang berilmu serta berdisiplin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata generasi muda perlu diberikan pendidikan yang turut membentuk nilai, semangat berbakti dan rasa tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat serta negara.

“Apa erti pembangunan, apa erti kejayaan negara kalau anak-anak kita tidak diasak dengan semangat, didikan, disiplin, kasih sayang. Sebab itu, anak-anak harus ada semangat sedemikian.

“Untuk apa kita menimba ilmu di sekolah, pusat pengajian dan universiti, ia untuk menjadi manusia berilmu dan berakhlak mulia (yang) mampu berbakti kepada masyarakat, ibu bapa dan juga kepada negara. Ini budaya yang harus dipupuk,” kata beliau

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Ketua Pengakap Negara Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin. 

Mengulas mengenai cabaran pada masa ini, Anwar berkata dalam mendepani kepesatan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI), generasi muda tidak boleh mengabaikan akar budaya serta nilai yang menjadi asas pembentukan masyarakat.

Beliau berkata perubahan teknologi perlu disertai kemampuan generasi muda untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baharu tanpa mengorbankan nilai dan warisan yang membentuk jati diri mereka.

Selain itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan memupuk perpaduan dalam kepelbagaian memandangkan generasi muda ialah pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2026, beliau turut menyeru generasi muda supaya terus menyemarakkan semangat cinta akan negara serta bersedia menghadapi ujian dan cabaran masa depan.

MYJAM15 yang bermula hari ini hingga 4 Sept, menghimpunkan lebih 5,450 pengakap tempatan dan antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.

Penganjuran jambori kali ini melakar sejarah tersendiri apabila acara kebangsaan itu kembali ke Pulau Pinang selepas 60 tahun, sejak negeri berkenaan menjadi tuan rumah pertama di Teluk Bahang pada 1966. — BERNAMA