Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bekalan peranti perubatan di Malaysia kekal stabil meskipun berdepan persekitaran mencabar susulan ketidaktentuan geopolitik, perubahan perdagangan serta gangguan rantaian bekalan global. 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata berdasarkan penilaian risiko bekalan terkini sehingga 5 Ogos, sebanyak 81.3 peratus barangan peranti perubatan dinilai sebagai risiko rendah, manakala 18.7 peratus dinilai sebagai risiko sederhana dari segi gangguan bekalan.

Beliau berkata, walaupun keadaan bekalan ketika itu stabil, Malaysia perlu memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko gangguan pada masa depan.

“Usaha mempelbagaikan sumber bekalan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara itu penting bagi memastikan bekalan peranti perubatan tidak terjejas sekiranya berlaku perubahan mendadak dalam ekonomi global, ketegangan geopolitik atau gangguan terhadap perdagangan dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa

(IMDEC) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, antara pendekatan yang perlu diberi tumpuan ialah mempelbagaikan sumber bekalan selain meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam negara supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada sumber luar.

Pada masa sama, katanya, industri peranti perubatan perlu bergerak daripada model pengeluaran tradisional kepada aktiviti yang menghasilkan nilai lebih tinggi seperti reka bentuk, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan perisian, keupayaan kawal selia serta pengkomersialan.

“Pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor ini dijangka menyokong pekerjaan berkemahiran tinggi, hubungan dengan pembekal tempatan, fungsi kejuruteraan dan R&D, pemindahan teknologi serta penyertaan syarikat Malaysia dalam aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi perubatan (MedTech) serantau dengan meningkatkan keupayaan tempatan dalam reka bentuk, R&D, inovasi, teknologi dan pemilikan harta intelek (IP).

Katanya, sektor peranti perubatan kini bukan lagi sekadar menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan, sebaliknya semakin penting kepada pembangunan ekonomi negara menerusi pelaburan, teknologi, pekerjaan berkemahiran tinggi dan peluang pengembangan syarikat tempatan.

“Malaysia mempunyai asas kukuh dalam sektor ini, namun cabaran seterusnya adalah membina kekuatan sedia ada bagi memastikan negara kekal kompetitif sebagai lokasi pengeluaran, selain meningkatkan keupayaan membangunkan teknologi dan inovasi sendiri,” katanya.-BH Online