Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kejayaan penyelesaian sukuk bertoken menggunakan deposit bertoken CIMB disifatkan sebagai pencapaian penting dalam pembangunan pasaran kewangan dan modal Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bukti konsep yang dilaksanakan di bawah Digital Asset Innovation Hub itu turut menunjukkan potensi inovasi kewangan dilaksanakan dalam kerangka yang dipercayai dan dikawal selia.

Beliau berkata pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan kecekapan pasaran, memperkukuh infrastruktur kewangan serta menyokong pembangunan berterusan pasaran modal negara.

“Saya ingin memuji CIMB atas usaha perintisnya di bawah Digital Asset Innovation Hub.

“Kejayaan bukti konsep yang menunjukkan penyelesaian sukuk bertoken menggunakan deposit bertoken CIMB menandakan satu pencapaian penting bagi pasaran kewangan dan modal Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada program Advancing Malaysia’s Financial & Capital Markets: Moving The Market Forward, Together di Menara CIMB.

Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Syed Zaid Albar.

Kumpulan CIMB menerusi CIMB Islamic Bank Bhd selesai melaksanakan projek perintis bagi menguji penyelesaian sukuk bertoken menggunakan deposit bertoken dalam persekitaran terkawal.

Projek itu melibatkan terbitan RM1.68 bilion di bawah Program Sukuk Wakalah Senior RM10 bilion CIMB Islamic Bank, dengan tempoh matang antara lima hingga 15 tahun.

Daripada jumlah itu, RM1.38 bilion diterbitkan dalam bentuk token dan dilanggan 12 pelabur institusi, manakala baki RM300 juta diterbitkan sebagai sukuk tradisional.

Secara ringkas, tokenisasi membolehkan aset kewangan konvensional seperti sukuk diwakili secara digital menerusi teknologi lejar teragih (DLT).

Apabila digabungkan dengan deposit bertoken yang mewakili wang bank perdagangan secara digital, teknologi itu berpotensi meningkatkan automasi dan mengintegrasikan proses penyelesaian transaksi, sekali gus mengurangkan kelewatan, menambah baik pengurusan kecairan dan meningkatkan kecekapan pergerakan dana.

Amir Hamzah berkata pencapaian berkenaan turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara pengawal selia dan industri dalam membangunkan sistem kewangan masa depan.

Menurutnya, usaha itu membabitkan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pihak industri, pelabur institusi dan peserta pasaran.

Beliau berkata kerjasama berkenaan menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila pengawal selia dan industri bergerak dengan visi bersama dalam pembangunan sistem kewangan.

Pada masa sama, Amir Hamzah menegaskan sistem kewangan generasi akan datang tidak akan ditentukan oleh teknologi semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia bergantung kepada keupayaan menggabungkan inovasi dengan kepercayaan, kecekapan dengan daya tahan serta kemajuan dengan kestabilan.

“Teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan tokenisasi sudah pasti akan mewujudkan peluang baharu.

“Namun, nilai sebenarnya bukan terletak pada kebaharuan teknologi itu, tetapi potensinya meningkatkan kecekapan pasaran, mengurangkan geseran, meluaskan akses dan mewujudkan peluang ekonomi lebih besar,” katanya.

Beliau berkata Malaysia kini perlu membangunkan sistem kewangan yang lebih cekap, saling berhubung dan inklusif serta berada pada kedudukan lebih baik untuk menyokong pertumbuhan dan daya saing negara.

Menurutnya, usaha membangunkan sistem kewangan masa depan juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk memperkukuh daya saing Malaysia serta memperdalam pelaburan dan pembentukan modal.

Amir Hamzah berkata Malaysia memasuki fasa seterusnya pembangunan pasaran kewangan dari kedudukan yang kukuh selepas membina pasaran modal yang mendalam, dikawal selia dengan baik dan pelbagai sejak beberapa dekad lalu.

Katanya, negara turut mempunyai kedudukan kepimpinan global dalam kewangan Islam selain memperoleh kepercayaan pelabur menerusi institusi kukuh, tadbir urus yang baik dan kawal selia berhemat.

Beliau yakin kekuatan institusi, kepakaran dan bakat, disokong tradisi kerjasama antara pembuat dasar, pengawal selia serta peserta pasaran, mampu terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan utama dan peneraju global kewangan Islam. -BH Online