Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik Datuk Zahari Sarip didahului oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap) diikuti dengan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta barisan ADUN.

Onn Hafiz ketika berikrar, bersumpah akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN dengan sebaiknya.

“Saya juga bersumpah dan mengaku akan memelihara, mengawal dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat mentadbir negeri berkenaan selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti besar.

Pakatan Harapan (PH) pula meraih kemenangan di lapan kerusi daripada 56 kerusi yang ditandingi.– BERNAMA