KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyumbang kepakaran dan keupayaannya dalam misi kemanusiaan di Nepal susulan banjir yang melanda negara berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pembabitan ATM itu bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Antara perkara yang boleh disumbangkan oleh pihak ATM adalah dalam soal misi-misi kemanusiaan.
“Jika ada keputusan daripada pihak kerajaan dan jika ia membabitkan ATM, kita bersedia untuk menyumbang kepakaran dan juga keupayaan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan, hari ini.
Semalam, Kathmandu Post melaporkan banjir besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa yang terletak di kawasan pergunungan Nepal, menyebabkan kerosakan besar terhadap kediaman dan infrastruktur.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap tinggi kepada penduduk di kawasan hilir.
Wisma Putra memaklumkan, seramai 17 rakyat Malaysia antara ratusan warga asing yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat itu.
Katanya, urusan perjalanan rakyat Malaysia yang hilang diuruskan agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.
Dalam pada itu, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman, memaklumkan setakat semalam, kira-kira 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Katanya, akses jalan raya ke kawasan berkenaan terjejas akibat banjir Sungai Bhote Koshi, manakala kerajaan Nepal sudah mengerahkan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat. -BH Online
