Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) masih mengkaji dan menilai secara menyeluruh cadangan memasukkan vaksin Qdenga ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, meskipun berlaku peningkatan kes denggi di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keberkesanan dan kos vaksin berkenaan perlu diteliti sebelum keputusan dibuat.

“Kami perlu melihat pelbagai sudut terutama kos yang menjadi cabaran besar.

“Ia memerlukan kajian dan penelitian menyeluruh kerana vaksin ini baharu dan harganya agak tinggi.

“Kita perlu melihat waktu yang lebih munasabah untuk memasukkan vaksin Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

“Setakat ini, kita masih mengkaji dan menilai secara menyeluruh.

“Dari aspek vaksin, kajian dan penilaian berterusan masih diperlukan bagi memastikan manfaat vaksin kepada populasi, keberkesanan dalam konteks tempatan, keselamatan serta keseimbangan antara manfaat dan risiko sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan (PPPNS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Fauziah Ahmad; EXCO Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Suhaimizan Bizar; serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zuraida Mohamed.

Dzulkefly berkata, KKM memandang serius peningkatan kes denggi sebanyak 60.8 peratus, dengan lebih 61,000 kes dan 58 kematian direkodkan sejak Januari lalu hingga minggu ke-33.

Katanya, antara langkah diambil KKM bagi menangani peningkatan itu ialah mengaktifkan Bilik Gerakan Denggi, memobilisasi petugas ke kawasan titik panas terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, selain memperluaskan penggunaan nyamuk ber-Wolbachia sebagai langkah kawalan biologi.

“KKM boleh merawat pesakit tetapi punca pembiakan aedes perlu dikenal pasti dan selagi punca pembiakan yang disebabkan kawasan tidak diselenggara dengan baik, kes akan terus meningkat.

“Ini bukan sekadar isu KKM, tetapi pengurusan persekitaran nasional yang memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik premis dan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, PPPNS dibina di tapak seluas 0.8 hektar dengan kos RM32 juta di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata, projek itu dimulakan dengan pemilikan tapak pada 30 Mac 2021 dan siap sepenuhnya dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 15 April 2025.

“PPPNS ini adalah yang pertama di Malaysia yang dibina, disiapkan dan diserahkan kepada KKM. Pusat ini berfungsi sebagai hab rujukan kepakaran pergigian zon tengah yang merangkumi Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Melaka.

“Fasiliti ini memberikan manfaat akses rawatan tertiari kepada kira-kira 11.89 juta penduduk. Sejak mula beroperasi pada 8 September tahun lalu, PPPNS merekodkan 11,085 kehadiran pesakit setakat Jun tahun ini,” katanya. -BH Online