PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semula skala dan lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil maklum perkembangan keadaan jerebu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan petang ini bagi menilai kesesuaian penganjuran sambutan berkenaan.
“Perbincangan itu akan meneliti sama ada skala sambutan perlu diubah, lokasi ditukar atau diteruskan di lokasi sama iaitu di Dataran Putrajaya.
“Ini juga termasuk program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincangan itu akan membabitkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), MetMalaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambah Fahmi, penilaian akan dibuat berdasarkan anggaran dan unjuran keadaan cuaca bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang, termasuk kemungkinan perkembangan keadaan jerebu.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat membatalkan sambutan berkenaan, sebaliknya perubahan skala atau lokasi boleh dipertimbangkan berdasarkan keadaan jerebu dan cuaca semasa.
Mengulas kemungkinan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat, Fahmi berkata perkara itu belum diputuskan dan pandangan KKM serta KPM akan diambil kira.
Katanya, aspek kesihatan dan keselamatan perlu diberi perhatian memandangkan sambutan itu turut membabitkan kira-kira 1,500 peserta ‘human graphic’ dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari tiga negeri.
“Perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat, tetapi kita akan ambil maklum daripada pihak KKM dan KPM.
“Itu salah satu cadangan (kemungkinan menukar lokasi sambutan), tetapi kita akan teliti kesesuaian lokasi dan pertimbangan-pertimbangan lain. Jadi, kita tunggu kenyataan daripada Tan Sri KSN,” katanya. -BH Online

