KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggalakkan usahawan Bumiputera khususnya yang pernah menerima manfaat daripada agensi itu untuk kembali menyumbang kepada ekosistem MARA, terutama dalam membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ruang kerjasama strategik dengan sektor swasta sentiasa dibuka, termasuk menerusi program BUDI MARA yang memberi sokongan tambahan kepada pelajar daripada keluarga B40 dan ke bawah.
Katanya, program itu memberi peluang kesamarataan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Memang kita menggalakkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan kita mengalu-alukan usahawan Bumiputera, usahawan MARA yang banyak mendapat manfaat daripada MARA untuk mereka kembali menyumbang kepada ekosistem MARA.
“Terutamanya kepada pelajar kategori susah, miskin dan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui BH pada program Pameran dan Jualan Usahawan Melaka Showcase 2026 di Medan MARA di sini, hari ini.
Pada program itu, beliau turut menyaksikan Majlis Penyerahan Letter of Intent (LOI) antara usahawan MARA Melaka, WAKJO Worldwide Sdn Bhd dan Bahagian Pelajaran Menengah MARA (BPM).
Menerusi LOI itu, WAKJO Worldwide Sdn Bhd bersetuju menaja 13 pelajar B40 untuk melanjutkan pengajian menengah di MRSM di bawah program BUDI MARA.
“Saya amat berterima kasih terhadap keprihatinan yang diberikan dan diharapkan lebih ramai usahawan MARA tampil mengambil tanggungjawab sosial yang serupa,” katanya.
Mengulas program Melaka Showcase itu, beliau berkata program pameran usahawan MARA yang diadakan setiap bulan itu menjadi platform mengetengahkan produk serta usahawan dari negeri berbeza.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu usahawan mempromosikan dan menjual produk, malah memberi peluang kepada warga MARA serta masyarakat mengenali budaya dan produk tempatan dari setiap negeri.
“Ini satu pendekatan yang amat positif dan baik kerana di samping kita dapat memperkenalkan sisi budaya tempatan.
“Kita juga dapat membawa usahawan-usahawan MARA daripada negeri tersebut untuk mempamer, menjual dan memperagakan produk-produk dari negeri berkenaan,” katanya.
Melaka Showcase 2026 yang berlangsung hari ini hingga 28 Ogos di Medan MARA, Ibu Pejabat MARA, membabitkan 70 reruai usahawan dan dibuka kepada orang ramai dari 7.30 pagi hingga 10.30 malam.
Pada majlis sama, MARA turut mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan pulut kuning berbentuk keris sepanjang 10 meter.
Asyraf Wajdi menyifatkan karya kulinari itu mengangkat keris sebagai lambang warisan, jati diri dan identiti budaya Melayu selari dengan semangat Sambutan Hari Kebangsaan ke-69. -BH Online

