TAPAH: Sebanyak 367 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif bernilai RM9 bilion di seluruh negara telah diluluskan kerajaan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata berkata peruntukan itu melibatkan 86 projek bernilai RM1.711 bilion pada 2023, 78 projek berjumlah RM1.825 bilion (2024), 124 projek dengan kos RM4.1 bilion (2025) serta 79 projek bernilai RM1.384 bilion (2026).
“Jumlah ini adalah yang paling besar daripada mana-mana kerajaan dalam tempoh empat tahun. Peruntukan dan kelulusan projek yang lebih banyak dilaksanakan adalah bagi mempercepatkan proses pembangunan semula bangunan sekolah yang terlibat demi keselamatan murid.
“Ini juga menunjukkan komitmen berterusan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan premis sekolah daif ditangani secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Daif Kementerian Pendidikan Bangunan Gantian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Coldstream di sini hari ini.
Mengulas tempoh penyiapan projek berkenaan, Wong berkata ia bergantung kepada skop, spesifikasi serta lokasi projek, dengan tempoh pelaksanaan am secara umumnya mengambil masa dua tahun selepas kelulusan dan lantikan kontraktor dibuat.
Mengenai pembinaan bangunan gantian di SJKC Kampung Coldstream pula, katanya projek bernilai RM2.9 juta itu mula dibina pada 24 Mei 2024 sebelum siap sepenuhnya pada 6 Ogos lepas.
Beliau berkata bangunan itu dilengkap pelbagai kemudahan moden seperti empat bilik darjah yang selesa, dua unit tandas baharu serta sebuah dewan terbuka bagi kegunaan murid dan guru di sekolah berkenaan.
“Bagunan ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti 120 set kerusi dan meja baharu serta unit Smart TV yang dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Wong berkata dengan kemudahan berkenaan pelajar juga dapat menikmati suasana pembelajaran yang kondusif manakala bilik khas sekolah yang digunakan sebagai kelas sementara sebelum ini dapat dikembalikan kepada fungsi asal.– BERNAMA
