KUALA LUMPUR: Tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji perlu dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Hasan berkata, kerajaan menghormati proses yang sedang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.
“Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, keanggotaan RCI Tabung Haji terdiri daripada enam tokoh berwibawa tinggi yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.
Katanya, anggota RCI berkenaan mempunyai kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit, sekali gus memastikan proses siasatan serta cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil dan berintegriti.
“RCI ini dibentuk dengan mandat dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan setiap dapatan perlu diberikan perhatian sewajarnya demi kepentingan pendeposit Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata, siasatan berkenaan turut disokong titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021, selain ketegasan titah Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Menurutnya, desakan supaya pengurusan simpanan umat Islam dilaksanakan secara telus telah disuarakan pelbagai pihak sejak 2019, membuktikan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan atau dikompromikan.
“Kerajaan MADANI akan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah serta memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji dipelihara, selain memastikan sebarang dakwaan penyelewengan diteliti secara menyeluruh mengikut proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini media pernah melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, dengan setiap pihak yang didapati bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.
Seri Paduka Baginda menegaskan, siasatan perlu diteruskan “sehingga ke lubang cacing” bagi memastikan tiada pihak terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah, selain mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020. -Astro Awani
